Monday, April 25, 2005

mytheory

mytheory

Dakwah

Salah satu daripada kewajipan muslim adalah berdakwah, maka pernahkah anda berdakwah?

Dakwah secara ringkasnya adalah mengajak manusia ke arah kebaikan. Dan yang dinamakan baik itu adalah sesuatu yang dibenarkan dan disuruh dalam Islam. Maka dakwah itu kerjanya mudah, kerjanya senang dan boleh dilakukan bila-bila masa. Tapi berdakwahkah kita?

.................

Saya bukanlah orang apa-apa gerakan. Bukanlah orang apa-apa kumpulan. Saya ini pelajar. Saya ini muslim. Saya bekerja dengan JIM, dengan Mercy, dengan Unicef, dengan Research Centre, dengan kem atau dengan mana-mana saja parti politik adalah atas tiket membantu. Dan doa saya adalah perbuatan baik saya ini dapat diterima Allah sebagai satu usaha dakwah.

Dakwah zaman moden adalah kerja luah mati emak, telan mati bapak. Ia kerja serba-salah. Ia kerja penuh ragu-ragu, penuh dengan maslahat (kepentingan) dan amat senang sekali mengundang benci orang.

Mungkin sabda Muhammad s.a.w yang berbunyi:

"Islam itu dagang. Ia datang dalam keadaan dagang(asing) dan akan kembali menjadi dagang(asing) kembali" dapat menjelaskan sesuatu.

Kata orang, maka mereka-mereka yang berada dalam keterasingan itu adalah orang yang menang.

Soalan saya: Benarkah?

............

Islam adalah suatu cara hidup. Ia adalah suatu pautan dan simbiosis antara perbuatan. Islam tidak berdiri atas suatu dahan sahaja dan akan hidup sekadar pada cabang itu. Tidak.

Islam umpama pohon yang rendang. Ia ada akar, ada batang, ada dahan, ada daun, ada buah dan segala macam komponen lagi supaya ia sempurna. Kata orang tua-tua: Umpama pohon tidak berbuah. Ini untuk menggambarkan keadaan yang sia-sia.

Jalan dakwah umpama melihat pohon tidak berbuah. Manusia yang melihat daripada jauh akan merasakan ia sia-sia, tidak bermakna. Manusia yang berada dekat dengannya masih mengharap redupnya dan moga-moga satu hari nanti akan ada sekurang-kurangnya satu putik di pohon itu.

Inilah yang akan anda atau saya hadapi bila berdakwah. Mengajak yang tidak tahu tentang Islam kepada Islam yang sekarang umpama mengajak mereka ke arah pohon yang tidak berbuah. Awak, atau saya yang dekat dengan pohon itu, yang sibuk menjaga dan memeliharanya begitu optimis pada buah yang akan hadir. Kita sekalipun tiada buah, sudah cukup syukur dengan redup rendangnya atau adanya ia sebagai hiasan pada laluan itu.

Namun bagaimana pula dengan mereka? Jalan dunia, jalan material, jalan kapitalis atau apa sahaja label yang anda suka adalah pohon yang berbuah. Mereka nampak ia, mereka boleh petik ia, boleh rasa ia. KENAPA PULA MEREKA PERLU IKUT BERSAMA PADA POHON KITA?

.............

Iman adalah benar-benar percaya. Dan percaya itu letaknya dalam hati. Tiada siapa, bahkan nabi sendiri tidak berani melabelkan seseorang begitu atau begini. Adalah biasa bila kita berdakwah terutamanya pada yang muslim kita akan mengaitkan dengan iman. Namun itu soal hati, itu perihal diri, bagaimana mahu buat mereka rasa, bagaimana mahu buat mereka menghayati?

Lalu yang tinggal bagi sesetengah orang adalah sehabis hikmah. Ya tuhan, sungguh-sungguh kekadang saya ini keliru. Maka saya pohonkan pada Nya diberi kefahaman dan usah dilarikan daripada jalan yang benar.

Apatah lagi apabila awak ini pendatang. Awak ini datang kepada orang, awak ini orang luar. Awak ini dijemput untuk memenuhi kehendak mereka. Adakah dengan menghukum pada tasbih "haram, haram,haram" maka penuhlah hati-hati mereka dengan iman dan kembalilah mereka ke jalan yang benar?

Atas apa berdirinya iman, wahai teman? Atas kasih sayang, keselamatan atau takut pada tuhan? Percaya itu kerna takut atau percaya itu akibat kasih?

Jawapan anda menentukan jalan anda. Ingat,tiada yang salah. Kerana yang baik itu daripada Allah dan yang buruk itu jua hanyalah mampu terjadi dengan izinNya.

.........

Terkadang ia berbunyi terlalu membela diri. Mungkin kerana ego bahawa saya ini di jalan yang betul. Saya ini sudah buat sesuatu.

Saya tidak mampu katakan saya sudah cukup benar. Cumanya saya sudah elakkan jalan yang terang-terang salah. Dan saya tidak pula katakan bahawa cara orang lain tidak patut dan jalan sayalah yang paling patut. Tidak.

Cuma semua orang patut berdakwah dengan cara dan potensi diri. Semua orang MEMANG patut berani menegur kesalahan dan tidak hanya mendiamkan diri. Adalah tidak patut sesiapa sahaja berubah pendapat, berubah pegangan hanya kerana dia sedang menentang yang autoriti.

Mengajak pada kebaikan itu adalah satu kewajipan. Berbuahkah, tidak berbuahkah pohon itu, itu soal tuhan. Nak pergikah mereka, ingkarkah mereka, itupun soal tuhan. Jangan pula kerna alasan menjaga hati, luput iman dalam diri. Ingat, fundamentalis Islam adalah Muslim, sedangkan pegangan Islam Liberal itu langsung bukan Islam.

Yang pasti, apa yang saya usahakan adalah jalan paling lemah. LEMBUT. Mungkin kerana saya ini tidak cukup berani atau hati saya ini memang masih belum suci.

1 Comments:

At 7:35 AM, Anonymous Anonymous said...

Very nice site! »

 

Post a Comment

<< Home